KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Kerajaan masih memerlukan masa bagi membuat keputusan sama ada untuk meneruskan proses ratifikasi domestik terhadap Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata kerajaan memerlukan sedikit masa bagi memastikan sama ada perjanjian itu memberi manfaat terhadap pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, agar rakyat dan negara tidak terjejas dengan pelaksanaannya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada ahli Parlimen Jeli (BN) Datuk Seri Mustapa Muhamad tentang keputusan kerajaan berkenaan CPTPP.

“Masih terdapat ruang untuk perbahasan sebelum ratifikasi domestik dipersetujui, dan untuk itu kerajaan memerlukan maklumat terkini bagi membuat keputusan menyeluruh dan tepat

”Buat masa ini terdapat tiga negara iaitu Jepun, Singapura dan Mexico yang sudah melengkapkan proses ratifikasi masing masing,” katanya.

Menurut Ong, penguatkuasaan akan terlaksana pada awal 2019 sekiranya enam negara daripada 11 ahli perjanjian CPTPP menyelesaikan ratifikasi domestik masing masing. — Bernama