BAHARU lima minggu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sudah mempertimbangkan cukai baharu dengan alasan bagi menjana pendapatan tambahan negara.
Emosi rakyat Malaysia terus diusik dengan pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa lalu, mengenai hasrat kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu dengan antara tujuan utama untuk bayar hutang negara.
Jawatankuasa Pembaharuan Cukai di bawah Kementerian Kewangan dilaporkan ketika ini sedang meneliti serta merangka mekanisme yang sesuai buat cukai baharu yang bakal diperkenalkan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau sebelum ini tidak mempertimbangkan CGT kerana beliau pasti tentang impak negatif dan merasakan kerajaan baharu tidak patut memperkenalkan CGT ke atas saham.
Jika CGT ke atas jual beli saham diperkenalkan di Malaysia, kecenderungan pelabur asing dan domestik untuk membeli saham di Malaysia akan (bukan kemungkinan) jatuh teruk. Ini kerana, mereka sudah pasti memilih bursa saham lain untuk melabur kerana negara berkenaan tidak mengenakan CGT.
Negara lain seperti Singapura dan Hong Kong yang mempunyai pasaran saham yang jauh lebih aktif dan besar berbanding Malaysia malah tidak mengenakan CGT. Mengapa Malaysia pula mahu mempertimbangkannya?
Kerajaan mengatakan bahawa merekodkan penurunan hasil negara selepas pelaksanaan SST berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Bukankah lagi mudah jika negara hanya tumpu kepada satu cukai iaitu GST berbanding pelbagai cukai yang lain?
Perlu diingatkan juga, pengenalan cukai baharu bukan sahaja memberi impak kepada orang ramai malah pasaran turut terkena tempiasnya.
Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah di semua papan semalam berikutan faktor dalaman dan luaran memandangkan pelabur antaranya berhati-hati berhubung rancangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 38.97 mata ditutup pada 1,735.18 semalam berbanding 1,774.15 pada penutup Selasa.
Aliran keluar dana asing mencecah AS$2.2 bilion (RM9.15 bilion) tahun ini selepas aliran saham berubah kepada negatif sejurus berlakunya perubahan dalam kerajaan, demikian menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.
Bajet 2019 kerajaan yang akan dibentangkan pada 2 November mungkin memberi lebih banyak idea konkrit dan muktamad mengenai apa yang diharapkan pasaran.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, langkah cukai baharu akan diumumkan sebagai sebahagian daripada ucapan bajet.
Bajet yang akan dibentangkan kerajaan akan memberi implikasi ketara kepada pasaran memandangkan kekangan fiskal dan langkah yang akan diumumkan bakal menjadi sumber baharu kepada pendapatan negara, kata Penganalisis RHB Research Institute, Alexander Chia dalam nota penyelidikan.
Mahathir juga akan mengumumkan dasar ekonomi sosial baharu pada 18 Oktober ini apabila beliau membentangkan perkembangan kajian jangka pertengahan bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).
Sesetengah pelabur mungkin tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman terbabit, di tengah-tengah ketidakpastian politik dan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu, kata Ahli Strategi CMC Markets Singapore Pte, Margaret Yang
Bagaimana pula dengan cukai digital? Ia adalah satu struktur cukai baharu yang dikenakan kepada antaranya penyedia perkhidmatan yang menggunakan platform digital atau internet. Antara negara telah memperkenalkannya seperti Norway, Jepun, Australia dan Taiwan.
Berdasarkan mekanisme pelaksanaan cukai digital di luar negara, ia akan hanya membabitkan penyedia perkhidmatan asing iaitu entiti perniagaan yang tidak mempunyai penubuhan atau tempat perniagaan di Malaysia.
Apa yang menjadi kerisauan ialah sama ada pengguna Malaysia akan turut dikenakan cukai digital atau tidak?
Bagaimana pula dengan cukai soda? Kerajaan mempertimbangkan mengenakan cukai soda terhadap minuman ringan bagi mengurangkan penggunaan gula dan sekali gus mencegah kencing manis di negara ini.
Adakah kajian telah dilakukan bahawa minuman ringan adalah punca utama kepada masalah kesihatan itu? Bagaimana pula dengan minuman lain seperti minuman ais kisar (blended) jenama mewah dan kordial minuman yang tidak mengandungi soda?
Persoalannya, dengan persekitaran ekonomi yang menyaksikan segelintir rakyat yang masih belum bekerja dan ada yang kehilangan kerja, mampukah rakyat Malaysia membayar cukai baharu itu nanti? Adakah tiada jalan penyelesaian lain?-Utusan