CHIANG MAI (Thailand) 31 Julai – Perlis yang dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia 2020 (WCWC 2020) memilih Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai venue utama kejohanan edisi kesembilan itu pada 24 hingga 30 Julai 2020.

Menurut presiden Persatuan Woodball Perlis (PWNPs) Prof Emeritus, Datuk Dr. Kamarudin Hussin, gelanggang woodball di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP Pauh Putra memenuhi kriteria untuk menganjurkan kejohanan dunia itu.

Beliau bercakap kepada media Malaysia selepas penyerahan simbolik ‘mallet’ (kayu woodball) oleh presiden International Woodball Federation (IWF) Weng Ming Hui kepada presiden Woodball Malaysia Association (MWA) Elaine Tan Mee Hoi pada majlis penutup WCWC2018 di sini, malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung DiRaja PWNPs berkenan menyaksikan upacara penyerahan tersebut di Chiang Mai Orchard Hotel.

Menteri Sukan dan Pelancongan Thailand Weerasak Kowsurat dan Presiden Asia Woodball Federation (AWF) Kok Cheng Kar turut hadir.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis Zailuddin Ariffin yang turut hadir berkata UiTM pula dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Malaysia Terbuka 2020 pada tarikh sama dengan WCWC2020.

Katanya, UiTM akan bekerjsama dengan PWNPs untuk menarik ramai peserta kerana gelanggang woodballlnya sebanyak 24 fairways mampu menampung bilangan peserta yang banyak.

Untuk rekod, Perkis satu-satunya negeri di negara ini mempunyai liga tempatan woodball sepanjang tahun bagi merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, Piala Tuanku Canselor UniMAP dan Piala Yang Dipertua MAIPs. – UTUSAN ONLINE