Oleh Isham Jalil

Saya mendapat maklum bahawa ada juga orang-orang parti Bersatu pergi berkempen di PRK Cameron Highlands untuk membantu calon DAP.

Sebenarnya perkara ini adalah agak janggal. Sebabnya ialah PRK kali ini tidak akan mengubah Kerajaan.

Jika PH kalah di PRK Cameron Highlands ini, ia tidak akan melemahkan Kerajaan PH atau mengurangkan jumlah kerusi mereka.

Namun jika PH menang, maka DAP akan mendapat tambahan satu lagi kerusi dalam Parlimen dan DAP akan menjadi semakin kuat dalam Kerajaan dengan 44 kerusi berbanding Bersatu dengan hanya 13 kerusi.

Jika ini berlaku maka orang-orang Bersatu dalam Kerajaan PH akan terpaksa lebih tunduk atau kowtow kepada DAP termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Situasi ini tidak baik untuk orang-orang Bersatu. Saya tidak mahu menghasut, namun hanya ingin menyuluh logik akal kepada orang-orang Bersatu yang mungkin tidak nampak hal ini.

Atau jika sebahagian mereka telah nampak hal ini namun masih bersungguh mahu DAP menang kononnya atas dasar solidariti parti komponen PH, mungkin mereka ini agak naive dalam politik.

Ataupun mereka terpaksa sokong sebab bak kata Perdana Menteri, DAP yang tentukan jawatan beliau.

Melihat perkara di atas, macamanalah kita mahu percaya yang parti Bersatu ini kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam seperti yang mereka kata, jika mereka kerap memperjuangkan kepentingan DAP.