SINGAPURA, 31 Julai — Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) telah mengeluarkan Perintah Larangan (PO) untuk tempoh lima tahun terhadap Alan Tay Yeow Kee, bekas Naib Presiden CIMB Bank Bhd.

Perintah itu akan menghalang beliau daripada menjalankan sebarang aktiviti yang dikawal selia dan mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di bawah Akta Niaga Hadapan dan Sekuriti (SFA), menurut MAS dalam kenyataan hari ini.

Pada 2011, MAS berkata beliau mengatur untuk orang lain membeli, bagi pihaknya, saham Qualitas Medical Group Limited dan Leeden Limited yang disenaraikan di Bursa Singapura pada masa itu.

Tay berbuat demikian semasa memiliki maklumat harga sensitif dan bukan awam bahawa kedua-dua syarikat telah menerima tawaran pengambilalihan, katanya.

Beliau mendapat maklumat dalam mengenai tawaran pengambilalihan itu berdasarkan kedudukannya di CIMB. — Bernama