KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Christine Ling, mendedahkan Datuk Mahadzir Lokman banyak berkongsi petua penjagaan kesihatan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Beliau berkata, dirinya sedikit pun tidak menyangka peringatan supaya menitikberatkan soal penjagaan diri akan menjadi amanat terakhir teman seperjuangannya itu.

Bekas penyampai berita TV3 dan pengacara terkenal itu dilaporkan meninggal dalam bilik hotelnya di Kota Kinabalu, Sabah, selepas solat Subuh, semalam.

“Saya sebenarnya jarang mengamati perbualan dalam kumpulan di aplikasi WhatsApp kerana kekangan waktu. Namun, saya tergerak hati untuk membuka perkongsian arwah Dale (Mahadzir) kepada bekas pengacara Sekapur Sirih, baru-baru ini. Kebanyakannya beliau memberi nasihat untuk menjaga kesihatan diri.

“Terbaru, Dale turut berkongsi petua kesihatan Tun Dr Mahathir pada 31 Julai lalu. Beliau turut menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan kebanyakan rakan kami sudah berusia.

“Terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian arwah kerana saya meletakkan telefon bimbit pada ‘mode’ senyap ketika mengajar. Bertubi-tubi panggilan dan mesej memaklumkan perkhabaran mengenai berita sedih itu diterima,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman bekerja di sisi personaliti terkenal itu, Christine yang cukup sinonim dengan ungkapan ‘sudi sudikanlah’ ini berkata, arwah memulakan kerjaya di arena penyiaran dua tahun lebih awal daripadanya.

“Saya boleh dikatakan berperanan sebagai perintisnya. Beliau menjadi sumber rujukan saya, terutama apabila ada ayat dan perkataan dalam Bahasa Inggeris yang perlu dipelajari. Sebagai pembaca berita, penting untuk kami memastikan pertuturan dan sebutan yang jelas.

“Selain itu, beliau juga sering menerapkan disiplin dan penampilan kemas apabila muncul di kaca televisyen. Biarlah sedap mata memandang, begitulah ayat yang sering digunakan oleh beliau yang sememangnya sentiasa kelihatan segak,” kata Cristine.

Selebriti berusia 59 tahun ini pernah bekerjasama dengan Mahadzir ketika mengacarakan program Malaysia Hari Ini dan Sekapur Sirih.

Christine yang bertubuh kecil molek turut dikenali sebagai ‘kamus bergerak’ dalam kalangan teman di TV3 kerana kemahiran luar biasanya menguasai bahasa Melayu.

Ketika ini, beliau tidak lagi terbabit dalam dunia penyiaran dan hanya menumpukan perhatian kepada kelas bahasa Melayu yang diusahakan secara kecil-kecilan.-BH Online