KUALA LUMPUR 7 Sept. – Perhimpunan Majlis Pengkebumian Institusi Peguam Negara di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini bertukar tegang apabila peserta perhimpunan mengingkari arahan pihak polis malam tadi.

Keadaan tersebut berlaku apabila kumpulan itu yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam cuba berarak ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tetapi dihalang polis.

Perhimpunan berkenaan dibuat sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada tuduhan rasuah melibatkan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

Mereka juga menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Peguam Negara serta didakwa menyalahgunakan kuasa dalam kes itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis perhimpunan atau permit daripada penganjur perhimpunan itu.

“Buat masa ini kita hanya memantau dan mengawal keadaan tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Perhimpunan anjuran mereka akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Tindakan mereka berarak tanpa kebenaran polis merupakan satu kesalahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Pulau Pinang di bawah nilai pasaran.

Bagaimanapun, pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon daripada dua pertuduhan tersebut.-UTUSAN