KUALA LUMPUR: Pemergian bekas personaliti TV3 dan ikon pengacaraan, Datuk Mahadzir Lokman, 61, hari ini disifatkan satu kehilangan besar bagi industri penyiaran negara.

Berita pemergian Allahyarham yang mesra dengan panggilan ‘Dato Dale’, mengejutkan ramai pihak termasuklah rakan rapat dan artis tempatan yang kebanyakannya berkongsi kenangan bersama arwah menerusi pelbagai cerita dan catatan.

Rakan Allahyarham, Farel Gafar, 31, ketika dihubungi Bernama mengakui terkejut dan sedih dengan berita kembalinya ke Rahmatullah personaliti televisyen itu yang disifatkan sebagai seorang yang cukup baik.

“Kali terakhir saya bertemu arwah sebelum beliau ke Sabah. Apa yang saya perasan, sejak akhir-akhir ini Mahadzir kerap meluangkan masa dengan kawan-kawan rapat di rumahnya,” katanya.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut berkongsi berita sedih itu di Instagramnya (@ctdk) dengan memuat naik gambar Allahyarham.

“Salam Takziah & Al Fatihah. Banyak kenangan bersama arwah, salah satunya arwah menjadi host di Konsert Royal Albert Hall London. Arwah seorang yang suka memberi ilmu serta baik hati. Semoga di sisi insan beriman di sana…amin,” katanya.

Pelakon, Maya Karin menerusi Twitternya (@maya_karin) menulis :”Al-Fatihah Datuk Mahadzir Lokman. He was kind to me when I was 17 and slightly scared of my first theatre main role in Malaysia,”

(Al-Fatihah Datuk Mahadzir Lokman. Beliau agak baik dengan saya semasa saya baru 17 tahun dan sedikit gementar pertama kali melakonkan watak utama dalam pentas teater di Malaysia)

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes turut berkongsi status di Twitternya (@tonyfernandes) berkata: “A man who I grew up. From music to airlines his voice was always there. A good man who was always positive and always sincere. I will miss him. RIP,”.

(Seorang yang rapat dengan saya. Daripada muzik ke syarikat penerbangan, suaranya sentiasa ke udara. Seorang insan yang baik dan sentiasa positif serta ikhlas. Saya akan merasai kehilangannya. RIP)

Allahyarham Mahadzir disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi tadi di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah yang dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang dihidapinya.

Tahun lepas Mahadzir pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Mahadzir memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita bahasa Malaysia dan Inggeris pertama di stesen TV3, pada tahun 1984.

Beliau pernah menjadi pengacara pertama bagi beberapa program televisyen terbitan stesen itu, antaranya Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.

Allahyarham kerap diundang sebagai pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa kerana kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali. – BERNAMA