KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak membuat kecoh di pintu pagar utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan mendesak dibenarkan masuk bagi memberikan sokongan kepada pemimpin mereka.

Dalam kekecohan yang bermula pada jam 2.30 petang itu, penyokong menuntut supaya pihak polis membenarkan mereka masuk ke dalam kompleks mahkamah bagi mengikuti prosiding pendakwaan ke atas Najib.

Usaha mereka bagaimanapun dihalang oleh Unit Tempur Ringan (LSF).

Anggota Polis dan FRU menghalang penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto Asyraf Hamzah

Selepas kira-kira 10 minit kemudian, polis membenarkan beberapa pemimpin UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masuk ke dalam kompleks mahkamah dan mereka dibenarkan naik Aras 2 ke bilik mahkamah sesyen di mana prosiding sedang berlangsung.

Polis kemudian menutup pintu utama kompleks mahkamah bagi menghalang penyokong daripada terus bertindak agresif.

Anggota Polis dan FRU menghalang penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto Asyraf Hamzah

Penyokong masih dengan pendirian mereka dan menuntut dibenarkan masuk sambil bersorak di luar pagar.

Selepas beberapa ketika dan berbincang secara baik, polis membenarkan semua penyokong masuk ke dalam lobi mahkamah.