KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Setiap Kerajaan Negeri akan menikmati penjimatan sebanyak enam peratus bagi setiap projek pembangunan untuk kegunaan awam selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diganti dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata walaupun angkanya kecil namun ia melibatkan penjimatan kos yang amat besar bagi Kerajaan Negeri.

“Contohnya, kita buat projek di Pulau Pinang bernilai RM2 bilion, maknanya enam peratus berapa? RM120 juta, ini adalah satu beban kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Perkhidmatan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU berkenaan yang bertujuan membolehkan pelaksanaan semula SST diluluskan Dewan Rakyat tanpa pindaan. Persidangan semalam meluluskan RUU Cukai Jualan 2018.

Lim berkata cukai GST sebanyak enam peratus sebelum ini juga menjadi halangan kepada beberapa  Kerajaan Negeri untuk menjalankan projek kerana tidak mampu untuk menanggungnya. — Bernama