KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) tanpa perbincangan dua hala dengan Arab Saudi boleh menjejaskan hubungan akrab Malaysia dengan negara itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apatah lagi penubuhan KSCIP merupakan pengiktirafan khas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud kepada Malaysia  sebagai negara mengamalkan model Islam berteraskan prinsip wasatiyyah.

Malah, katanya, Arab Saudi juga bersetuju membiayai segala kos operasi KSCIP termasuk pembinaan bangunannya, dengan matlamat Malaysia dapat mempromosi wajah Islam sebenar kepada dunia terutamanya dalam menangani isu-isu ekstrimisme dan terorisme global.

“Justeru, saya berharap kerajaan Malaysia dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi mengadap Raja Arab Saudi bagi menzahirkan hasrat kerajaan.

“Ini sekaligus memastikan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi terpelihara dan rakyat dapat terus menikmati natijah positif daripada hubungan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf turut memberikan contoh pelbagai keistimewaan yang dinikmati hasil hubungan baik dengan Arab Saudi.

“Hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi melalui kebijaksanaan kepimpinan terdahulu jugalah yang telah memberikan natijah positif kepada rakyat khususnya dalam hal ehwal pengurusan haji. Seiring penubuhan KSCIP tahun lepas juga, kerajaan Arab Saudi telah menambah kuota haji sehingga mencecah 30,000, iaitu antara penerima kuota tambahan terbesar.

“Selain itu, hasil hubungan akrab dua negara ini segala kemudahan dan keistimewaan dinikmati  jemaah haji Malaysia tahun ini termasuk kemudahan khemah berhawa dingin di Arafah dan perkhidmatan perlepasan segera (fast-track) kepada jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama,” katanya.

Menurut beliau, keputusan menghentikan operasi KSCIP juga dikhuatiri akan menjejaskan usaha sama ekonomi berskala besar.

“Misalnya pelaburan berjumlah RM31 bilion oleh Saudi Aramco dalam projek Rapid Petronas Pengerang. Projek ini membawa kepada kewujudan kerja-kerja berpendapatan tinggi serta menjadikan Malaysia hub petrokimia terpenting di rantau ini,” katanya. – Sinar Harian