KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Kemerosotan harga minyak  sawit mentah (MSM) semasa bukan disebabkan oleh pemulauan oleh Kesatuan Eropah (EU), perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, atau hubungan tidak mesra dengan pembeli dari China dan India.

Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam ucapan penggulungan di Parlimen hari ini berkata harga MSM ditentukan oleh faktor penawaran dan permintaan, dan lebihan stok merupakan faktor utama yang menyumbangkan kepada kejatuhan harga MSM semasa.

“Purata MSM bagi tempoh Januari hingga Julai 2018 susut 17.3 peratus kepada RM2,393.5 setan berbanding RM2,895 setan dalam tempoh yang sama pada 2017. Harga terkini MSM setakat 3 Ogos ialah RM2,143 setan.

“Kemerosotan harga bagi setengah tahun pertama disebabkan stok yang tinggi, melebihi purata dua juta tan, disebabkan pengeluaran yang tinggi dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata kejatuhan harga sawit juga seiring dengan kejatuhan harga minyak sayuran saingannya di dunia, terutama minyak kacang soya, dengan kedua-duanya merupakan barang pengganti yang hampir sama dan bersaing merebut pasaran minyak sayur yang sama. — Bernama