Sudah mula kedengaran suara-suara lantang dari kalangan pemimpin Umno yang cuba mengkritik bekas Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bermula dengan suara Ketua Umno Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan kemunculan Najib di Pilihanraya Kecil Sungai Kandis, ia kemudiannya disambut pula oleh Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa yang menegaskan bahawa Najib adalah ‘beban’  yang tidak lagi boleh dipikul oleh Umno.

Masing-masing antara mereka mempunyai hujah dan rasional untuk mewajarkan dakwaan mereka itu, tetapi yang pastinya ia dilihat lebih bertujuan untuk menonjolkan diri di dalam era Umno pasca PRU 14 ini. Tak dinafikan juga ada kemungkinan ia ‘diilhamkan’ oleh pihak-pihak tertentu yang lebih di atas.

Walau apapun motif dan rasionalnya, ahli-ahli Umno di bawahan ini janganlah pening kepala memikirkan samada kritikan mereka terhadap Najib itu adalah benar atau sebaliknya.

Memadailah dengan membuat kesimpulan mudah, ‘inilah perangai pemimpin-pemimpin Umno yang anda pilih’. Jika seseorang itu di atas, tangannya dicium. Malahan beg tangannya juga tolong di bawakan.

Itulah semangat perjuangan ala Umno.

Berbeza dengan perjuangan  Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka lebih tulen menyokong pemimpin dan parti mereka demi untuk rakyat dan bukannya sekadar memperguna rakyat. Suatu masa dulu, Ketua Umum PKR,Anwar Ibrahim didakwa dengan kes-kes mahkamah yang jauh lebih teruk dari kes 1MDB Najib Razak.

Anwar dituduh dengan kes liwat yang bertalu-talu, dituduh bersekongkol dengan penyangak matawang George Soros, didakwa berpakat dengan Israel untuk menjahanamkan negara, malah Anwar dituduh juga sebagai dalang kepada pencerobohan pengganas Sulu di Sabah kerana kaitan beliau dengan Nur Misuari.

Semua ‘dosa-dosa’ Anwar yang dijaja hampir 20 tahun itu, jauh lebih besar berbanding dosa Najib Razak yang mula dijaja dalam 3 bulan ini.

Namun waktu itu, adakah terdapat dikalangan pemimpin PKR yang terus mengentam Anwar atau mula memadamkan nama Anwar dari pengkalan data PKR? Adakah terdapat pemimpin PKR yang melabelkan Anwar sebagai ‘beban’?

Berkat keikhlasan perjuangan mereka, akhirnya selepas 20 tahun, rakyat sudah dapat menilai sendiri dan terus memberikan kepada mereka kerajaan. Umno tersungkur jua selepas 61 tahun.

Tidak hairanlah jika sewaktu Najib diheret ke mahkamah, hanya berapa kerat sahaja ahli Umno yang datang memberi sokongan kepada bekas perdana menteri itu. Amat berbeza dengan sokongan kepada Anwar ketika di mahkamah,walhalhanya bekas timbalan perdana menteri.

Dimanakah suara Datuk Seri Panglima Azeez Rahim yang suatu masa dulu dikenali sebagai panglima dan pendekar di parlimen untuk mempertahankan Najib?  Oh ya…Azeez sedang mempertahankan bangsa Rohingya di parlimen ketika ini.

Tidak mustahil jika rakyat atau ahli-ahli Umno melabelkan pemimpin Umno ketika ini sebagai ‘buta perut’ iaitu tidak menggunakan otak dalam mempertimbang sesuatu tindakan.

Khaled Muhammad Umar-Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur

 

Malaysiakita tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis sendiri.