25 OGOS: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akur dengan keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak berdebat secara terbuka sempena pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Menurut Rafizi, keputusan penyandang jawatan Timbalan Presiden parti itu menolak berdebat secara terbuka perlu dihormati, walaupun proses itu sudah menjadi amalan parti itu selama ini.

Katanya, amalan debat sering digunakan parti pembangkang sebelum ini, namun secara tiba-tiba proses itu dianggap kolot dan tidak baik pula oleh pihak tertentu ketika ini.

“Saya menghormati keputusan beliau (Azmin) dan saya tidak boleh memaksa jika beliau sendiri tidak mahu memanjangkan budaya debat kerana ini bukanlah perkara baru dalam PKR.

“Bagi saya, budaya debat adalah sesuatu yang menyuburkan demokrasi dan kita tidak boleh menggunakan prinsip berlainan dalam hal ini kerana dahulu kita sering ‘mengejek’ bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan parti itu kerana tidak berani berdebat dan kita turut ‘menghentam’ beliau sebagai satu kelemahan untuk tidak mampu berdebat dengan kita.

“Namun, apabila sampai pula ke parti kita, tiba-tiba prinsip itu tidak terpakai oleh kita dalam parti pula dengan alasan ini tidak baik dan debat adalah satu budaya kolot pembangkang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis #Reformasi 20 Tahun di Kangar, malam tadi.

Majlis bertujuan memperkenalkan sebahagian calon ‘kem Rafizi’ yang akan bertanding pada pemilihan PKR akan datang turut dihadiri Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada pemilihan berkenaan, Rafizi akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, manakala Azmin selaku penyandang akan mempertahankan jawatannya itu.-BNPortal