Oleh Mohd Puad Zarkashi

1. Malaysia kena bayar pampasan kerana membatalkan kedua-dua projek Landasan Keretapi Pantai Timur (East Coast Railway Line – ECRL) dan Projek Saluran Paip Gas Rentas Sabah (The Trans Sabah Gas Pipeline– TSGP. Puncanya tiada exit clause dalam perjanjian yang ditandatangani. Kita tengok nanti betulkah dakwaan Mahathir bahawa China bersetuju dan tidak akan bertindak balas terhadap keputusan itu. Cakap Mahathir sukar dipegang kerana janji 100 hari gagal ditunaikan.

2. Alasan Mahathir ialah hutang negara terlalu besar iaitu RM1 trilion. Jumlah itu dipertikaikan dan kenyataan Tun Mahathir sendiri sentiasa berubah. Hari ini dia kata Malaysia akan bankrap kerana hutang, esok dia kata lain pula.

3. Menurut senarai Wikipedia, hutang luar Singapura ialah USD1.3 trilion, Indonesia USD335 bilion manakala Malaysia USD227 bilion. Hutang luar Malaysia itu cuma 50.9% berbanding GDP, sedangkan Singapura 112%, UK 89.3%, Canada 93.2%, Amerika 60% dan Jepun 200%. Tetapi apa jawapan Singapura mengenai hutang luar mereka yang tinggi. Mereka berhutang bukan untuk “berbelanja” tetapi berhutang untuk “pelaburan”. Pelaburan menyebabkan Singapura akan memiliki banyak aset melebihi tanggungan.

4. Bukankah ECRL dan TSGP adalah satu pelaburan dan kita akan memiliki aset kerananya. Kedua dua projek ini termasuk Landasan Keretapi Laju (HSR) yang masih tergantung merupakan “game changer” penting untuk mengubah Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

5. Sebenarnya Tun Mahathir mahu menghapuskan legasi Najib. Dia akan hapuskan, tamatkan atau gantung apa sahaja yang dibuat oleh Kerajaan terdahulu. Ini termasuk membatalkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman. Dia sanggup bayar pampasan walaupun ia adalah ketirisan. Apa untungnya bayar pampasan berbanding jika diteruskan atau dikecilkan skopnya projek. Tindakan Tun Mahathir akan menyebabkan pelaburan langsung asing  (FDI) semakin berkurangan dan suku kedua 2018 menyaksikan FDI  Malaysia telah berkurangan sebanyak RM2.8 bilion.