KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pembangkang sudah mempunyai kabinet bayangan.

Menurutnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mengumumkannya sekali gus menuntut pengiktirafan rasmi kerajaan.

“Kami telah diberikan portfolio. Ketua (pembangkang) cuma perlu mengumumkannya dan meminta kerajaan untuk memberikan pengiktirafan rasmi mengenai kabinet bayangan ini seperti sistem di Westminister,” katanya di laman Twitter miliknya, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan pengguna Twitter yang bertanyakan bila pembangkang mahu mengumumkan kabinet bayangannya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata ketua pembangkang parlimen dijangka akan mengumumkan kabinet bayangan itu pada minggu ini. – Sinar Harian