KUALA LUMPUR 20 Ogos – Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan mengalu-alukan cadangan serta saranan orang ramai berhubung penilaian terhadap institusi pentadbiran Islam.

Sehubungan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan hari ini mempelawa orang ramai termasuk bukan Islam menghantar memorandum bertulis untuk menyampaikan sebarang pendapat, pandangan dan sumbang saran yang berkaitan sebelum 1 Oktober depan.

Menurut kenyataan itu, pelawaan tersebut sebagai memenuhi mandat utama jawatankuasa tertinggi tersebut untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam dan keberkesanan agensi-agensi utama sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Jawatankuasa tertinggi mengalu-alukan sebarang penilaian berkaitan pengurusan institusi-institusi pentadbiran Islam, hal ehwal zakat, baitulmal, pendidikan Islam dan dakwah, perbankan Islam serta kewangan, pemakanan dan isu berkaitan dengan halal, penguatkuasaan perundangan syariah dan lain-lain lagi.

“Jawatankuasa tertinggi juga berharap agar pihak yang mengemukakan memorandum dapat mengajukan cadangan-cadangan serta syor-syor penambahbaikan terhadap struktur institusi-institusi berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Pada 30 Julai lalu, Majlis Raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Jawatankuasa tertinggi itu berperanan dalam proses menambah baik, melakukan perubahan dan menstruktur semula fungsi serta hala tuju institusi pentadbiran Islam.

Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan tersebut, turut ditekankan bahawa jawatankuasa tertinggi berkenaan akan memberi keutamaan kepada saranan berkaitan institusi-institusi Islam di bawah naungan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Meskipun begitu, menurut kenyataan itu, pihak yang mengemukakan memorandum boleh juga menyentuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

“Sebagai menjunjung amanah yang dititahkan oleh Raja-raja Melayu, setiap memorandum yang diserahkan akan dikendali secara sulit dan persendirian bagi menjamin kerahsiaan semua pihak terlibat,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang cadangan, idea atau saranan boleh menghantar memorandum ke alamat berikut:

Sekretariat

Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan,

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,

482, Jalan Bukit Petaling,

50460 Kuala Lumpur.

Atau e-mel ke jkt@majlisraja-raja.gov.my. – UTUSAN ONLINE