KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Petronas berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin akan kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat minyak negara itu.

Ahmad Nizam yang berpengalaman selama 37 tahun dalam industri minyak dan gas, turut menyandang pelbagai jawatan sepanjang kerjaya beliau di Petronas.

Antara lain, beliau mengetuai unit 80 peratus milik Petronas, Engen Ltd, di Afrika Selatan, dari Julai 2010 hingga Ogos 2015 sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selain mengetuai Malaysia LNG Dua Sdn Bhd dan Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dari Julai 2004 hingga Oktober 2007.

Beliau sebelum itu disebut-sebut sebagai bakal pengganti bekas Presiden dan CEO Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang melepaskan jawatan itu pada 2010 dan juga Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, yang meninggalkan syarikat minyak milik negara itu pada 2015.

Ahmad Nizam yang kini merupakan ahli lembaga pengarah Universiti Malaysia Terengganu, menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengosongkan jawatan pengerusi pada 30 Jun, 2018.

Pada tahun-tahun permulaan kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan, termasuk sebagai penganalisis, perancang dan penyelaras projek dalam sektor perancangan korporat dan kewangan, di ibu pejabat korporat dari 1981 hingga 1987 dan beberapa jawatan di Petronas dari 1988 hingga 2002.

— BERNAMA