KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Kerajaan komited untuk bertindak lebih proaktif dengan memberi nafas baru dalam pelaksanaan agenda dan ekonomi Bumiputera di dalam negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40 dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

“Dalam hal ini, pelbagai dasar baharu yang sedia ada sedang dikaji dan akan ditambah baik berpandukan kepada keperluan semasa dan cabaran ekonomi dunia.

“Ini ialah bagi memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih mampan dan lestari dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi Bumiputera untuk  lebih berdaya saing,” kata Azmin ketika menjawab soalan ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pada sesi pertanyaan jawapan lisan di Parlimen hari ini.

Jawapan beliau dibaca oleh Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.