IPOH, 7 Ogos — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan bernilai RM249.8 juta di Perak bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata jumlah itu meliputi pelaburan tempatan sebanyak RM235.7 juta manakala RM14.1 juta adalah pelaburan asing.

“Sebanyak lima projek telah diluluskan dalam tempoh tersebut yang menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 371 orang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 Perak di sini, hari ini.

Mohammad Nizar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat turut menjangkakan jumlah pelaburan tersebut akan terus meningkat memandangkan dasar kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan yang mesra pelabur.

“Antara dasar tersebut termasuk pengurangan cukai, penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan oleh jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penyediaan aspek infrastruktur yang lengkap termasuk penyaluran paip gas di Lembah Kinta serta pembukaan lebih banyak kawasan perindustrian baharu bagi mewujudkan suasana kondusif turut menarik minat pelabur ke Perak.

— BERNAMA