Peguam, Gunamalar Joorindanjn mempersoalkan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa anak guamnya berhubung kiriman di Facebook tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, beliau menjelaskan bahawa dakwaan sama terhadap individu yang pro-Pakatan Harapan digugurkan, termasuk Anggota Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa.

Gunamalar mewakili Timbalan Ketua Umno Telok Bahang Mohd Rizuad Mohd Azudin yand didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 semalam.

Difahamkan dakwaan berhubung kiriman Facebook Mohd Rizuad dianggap tidak sopan oleh pemimpin Umno di bahagian sama, tahun lalu.

Peguam itu berkata beliau akan menulis surat kepada Peguam Negara Tommy Thomas berhubung perkara ini.

“Pada pandangan saya, keadilan bukan saja perlu dilaksanakan, tapi juga perlu dilihat dilaksanakan.

“Baru-baru ini, peguam negara menarik dakwaan di bawah seksyen sama terhadap Syarul Ema Abu Samah @ Ratu Naga dan Sivarasa kerana membuat kenyataan tidak sopan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tindakan itu selari dengan dasar HARAPAN untuk menghapuskan undang-undang yang menindas,” katanya.

Bagaimanapun, Gunamalar berkata beliau terkejut apabila Pejabat Peguam Negara mengenakan dakwaan sama terhadap anak guamnya.

“Saya percaya ini kerana anak guam saya mempunyai kaitan dengan Umno,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa tempoh yang lama sudah berlalu sejak dakwaan kesalahan itu.

Namun, katanya, pasukan pendakwaan masih meminta tarikh lain untuk menyerahkan dokumen penting di bawah Seksyen 51A Kod Prosedur Jenayah kepada pihak pembelaan.

“Kenapa dakwa jika pasukan pendakwaan tidak bersedia dengan perbicaraan?

“Anak guam saya kini diikit jamin (RM3,000). Saya akan menulis surat kepada peguam negara untuk menggesa agar menarik dakwaan itu. Jika tidak, saya perlu menunggu dokumen yang dikatakan itu sebelum memberi nasihat kepada anak guams aya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-Malaysiakini