KUALA LUMPUR 4 Sept. – Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara, Tommy Thomas perlu segera membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam yang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah terhadap kes pembelian sebuah lot banglo.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rakyat secara umumnya sudah mula membuat perbandingan kes terbaharu itu dengan apa yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.

“Walaupun kita sedar, fakta dan asas kedua-dua kes adalah berbeza dan tidak sama, namun prinsip asasnya masih serupa dan wajar diambil kira.

“Isu kedudukan, kepentingan peribadi dan sebagainya mewajarkan kes melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini dibicarakan semula di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Reezal Merican berpandangan, cukup mendukacitakan apabila seorang Peguam Negara yang mempunyai karisma dan wibawa mahu imejnya dan jabatan yang diwakili dicemarkan dengan keputusan mahkamah cukup mengecewakan.

“Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab moral yang cukup penting dan besar untuk memastikan kes melibatkan individu berprofil tinggi diadili sebaiknya di dalam mahkamah yang terbuka dan adil.

“Kenyataan Jabatan Peguam Negara yang menggunakan alasan kelemahan prosedur dan kemunculan ‘bukti baru’ ini perlu diperjelaskan dengan lebih tuntas kepada rakyat. Kita khuatir dan bimbang, perkembangan terbaharu ini hanya merosakkan imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Tambahnya, imej Jabatan Peguam Negara mahupun Peguam Negara yang baharu tidak wajar dirosakkan dengan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu.

“Peguam Negara dilantik dalam keadaan cukup terhormat malahan berjanji untuk bersikap adil dan komited kepada usaha mengutamakan prinsip keluhuran undang-undang.

“Rule of law seharusnya tidak bersikap selektif dan berselindung di sebalik kelemahan prosedur perundangan. Apa yang berlaku ini seakan-akan tidak selari dengan idealisme Malaysia Baharu yang sering diagung-agungkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Jelas Reezal Merican lagi, Malaysia Baharu seharusnya meletakkan kes tersebut sebagai keutamaan dalam mengembalikan kewibawaan dan integriti kepada sistem perundangan negara.

“Hakikatnya, majoriti rakyat memberikan reaksi yang cukup negatif kepada perkembangan berkaitan kes terbaharu ini.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh memulakan usaha mengembalikan wibawa sistem perundangan dengan ‘langkah kiri’ seperti ini,” katanya. – UTUSAN