Pasukan khas pantau isu cili

Pasukan khas pantau isu cili

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan pasukan khas bagi memantau pasaran cili merah tempatan agar berdaya saing selain memastikan kecekapan kos pengeluarannya.

Menurut kenyataan kementerian tersebut, pasukan itu juga akan digerakkan untuk menangani isu-isu berbangkit lain terma­suk pengimportan sayur-sayuran dan buah-buahan yang masuk ke negara ini.

“Tindakan tersebut akan dibuat melalui Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Akta Makanan 1983 serta di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Antilambakan 1993 sekiranya berlaku kemudaratan kepada industri tempatan akibat dagangan import cili merah ke Malaysia,” jelas kenya­taan tersebut, hari ini.

Khamis lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia menyiarkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Kelonggaran sistem pemantauan dan penguatkuasaan itu sudah berlarutan sekian lama hingga mengundang pelbagai masalah dan paling membimbangkan adalah tahap keselamatan hasil pertanian berkenaan terhadap penduduk negara ini.

Tambah kenyataan tersebut, penggunaan perkapita cili merah di Malaysia adalah sebanyak 2.3 kilogram setahun dan dengan pengeluaran cili merah tempatan pada 2017 adalah 27,000 tan me­trik.

Katanya, jumlah itu hanya mampu menampung 37 peratus daripada permintaan negara dan baki sebanyak 63 peratus lagi perlu ditampung melalui pengimportan bagi memastikan cili me­rah dalam pasaran mencukupi.

Ujarnya, pengimportan hasil pertanian dari luar negara adalah disyaratkan dengan permit import iaitu alat kawalan yang digunakan oleh kerajaan bagi mengawasi kualiti, keselamatan, penyakit dan perosak yang boleh membahayakan pengguna dan sektor pertanian negara.

“Kementerian menguatkuasakan permit import cili merah mulai 1 Mac 2017 bagi mengawal perosak lalat buah cili (bactrocera latifrons) dan penggunaan sisa racun makhluk perosak supaya mematuhi piawaian ASEAN Maximum Residue Levels (ASEAN MRLs).

“Sejak Januari sehingga Julai lalu, sebanyak 1,092 permit import dikeluarkan bagi mengimport 31,000 tan metrik cili merah melalui 16 pintu masuk negara yang telah diwartakan,” katanya.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...