KUALA LUMPUR, 29 Julai — Peletakan jawatan beramai-ramai seluruh lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd baru-baru ini tidak dijangka membawa sebarang kesan terhadap pasaran ekuiti tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Ini kerana, katanya, prestasi ekuiti tempatan dipengaruhi terutamanya oleh bursa serantau.

“Malahan, kesannya tidak ketara. Setakat ini, kita tidak melihat sebarang turun naik besar dalam harga saham berkaitan dengan syarikat yang Khazanah telah melabur, yang termasuk CIMB Bank Bhd dan Axiata Group Bhd,” katanya kepada Bernama.

Selain daripada itu, Nazri Khan juga berkata laporan bahawa Khazanah, Permodalan Nasional Bhd dan Petronas akan diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang baru dibentuk tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Ia hanya satu langkah penyusunan semula dan langkah kecil untuk menambah baik tadbir dan daya maju tiga syarikat yang berada di bawah Model Baharu Ekonomi. — Bernama