GOMBAK – Pas menjangkakan Umno akan membantu calon parti Islam itu untuk memenangi PRK Dun Seri Setia yang dijadualkan pada bulan depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keyakinan itu dizahirkan apabila Umno tidak menempatkan calon mereka bagi  merebut kerusi yang ditinggalkan bekas Adun PKR, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

“Kita tengok muka dia (Umno) macam nak tolong.

“Kita harap mungkin apabila mereka tak turunkan calon, pengundi Umno akan mengundi… tolong Pas,” katanya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang dilantik sebagai Pengarah PRK Dun Seri Setia mengumumkan buat masa ini, Pas telah menyenarai pendek tiga nama calon yang akan dimuktamadkan 15 Ogos nanti.

“Ada yang pernah bertanding pilihan raya umum lepas dan  ada calon baharu,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sementara itu, ketika ditanya kesudian Pas untuk membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun membantu dalam siri kempen di PRK Dun Seri Setia, Tuan Ibrahim hanya berkata, pihaknya mengalu-alukan bantuan semua pihak.

“Dalam Pas kita ada beberapa perkara yang boleh dan tidak  boleh. Bahkan petugas Pas sedang memahami situasi pengundi dan sensitiviti masyarakat setempat, itu perlu ambil kira,” ujarnya.

Bagi perkembangan PRK Dun Balakong pula, beliau yakin pengundi Pas di situ akan memberi undi.

“Balakong, BN tak letak calon, MCA guna logo sendiri. Ini percubaan mereka untuk keluar daripada logo BN.

“Bila Pas tak letak calon, mungkin ahli Pas yang akan beri undi,” jelasnya. – Sinar Harian