KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Pas tidak menolak kemungkinan akan terbentuk kerjasama dengan UMNO menerusi kaedah ‘tahaluf siyasi’ setelah mendapat kelulusan entiti tertinggi parti itu, Majlis Syura Ulama kelak.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membayangkan perkara itu berkata, Majlis Syura Ulama akan memberi kata putus mengenai perkara itu dari sudut hukum syarak selain mengambil kira sama ada pelaksanaannya nanti menepati dasar perjuangan Pas atau sebaliknya.
“Itu (Kelulusan Majlis Syura Ulama) belum lagi, itu satu andaian saja. Apabila betul-betul nak lakukan maka Majlis Syura Ulama akan beri kata putus dari segi hukum syarak adakah menepati dasar atau tidak,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, dekat sini hari ini.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Dewan Pemuda Pas dalam muktamarnya semalam bersetuju dengan cadangan pucuk pimpinan parti itu dalam menentukan rakan politik, namun memutuskan agar dilakukan dengan pendekatan mengikut kaedah ‘tahaluf’ dan bukannya taawun.
Perwakilan membuat ketetapan menolak pendekatan taawun (tolong-menolong dalam perkara yang baik) yang dianggap terlalu anjal manakala tahaluf (kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya) dapat diikat oleh garis-garis yang jelas dan berprinsip.
Abdul Hadi seterusnya berkata, Pas adalah sebuah parti yang sentiasa berpegang kepada perlembagaan mengikut dasar, prinsip serta akidah perjuangan yang ditetapkan.
Berikutan itu, jelas beliau, Pas tidak lagi meneruskan tahaluf siyasi dengan DAP memandangkan parti berkenaan tidak menghormati prinsip serta dasar perjuangan Islam yang diperjuangkan Pas.