KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keluarga Harmoni Malaysia (Pakar) telah mewujudkan kaunter perkhidmatan bagi membantu golongan isteri atau kaum wanita yang teraniaya akibat krisis rumahtangga.

Kaunter ini diwujudkan khas bagi membela golongan isteri-isteri berikutan tiada satu pun perkhidmatan seumpama itu yang disediakan oleh pihak lain setakat ini dengan khidmat bantuan secara total kepada kaum isteri atau wanita teraniaya.

Presiden Pakar, Datuk Lutfi Yusof berkata pertubuhan itu berusaha sedaya upaya untuk membela kaum isteri memandangkan banyak kes membabitkan isteri-isteri atau wanita yang diceraikan, tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari institusi syariah di negara ini.

Ramai pasangan yang sah nikahnya pada hukum syarak tetapi tidak diperakui oleh peraturan syariah di negara ini sehingga ramai anak diisytihar sebagai  Anak Tidak Sah Taraf (ATST) bagi kategori  luar nikah , seolah-olah hukum Al-Quran itu berbeza menurut tempat dan masyarakat. Ia juga melibatkan prosedur yang sulit dan kos yang amat tinggi.

“Ada kes isteri yang dibiar gantung tak bertali, ada isteri yang diabaikan hak dalam poligami, ada isteri yang terabai oleh undang-undang syariah kerana bernikah di luar negara, dan pelbagai kes lagi yang dilihat sebagai menganiaya kaum isteri.

“Paling membimbangkan adalah adanya golongan isteri-isteri yang telah dihasut untuk menolak hukum Allah dan syariat Islam yg mulia ini. Ini boleh menyebabkan rosaknya aqidah mereka sedangkan Islam meletakkan golongan isteri pada darjat yang amat tinggi sehingga bertaraf ketua segala bidadari di syurga, tetapi mereka menolak syariat poligami yang dimuliakan syarak itu, akibat termakan hasutan-hasutan dan dan lemahnya ilmu agama?” tegas beliau.

Beliau berkata, terdapat juga kes-kes suami yang benar-benar berkemampuan untuk berpoligami tetapi dihalang oleh pihak berkuasa syariah dengan peraturan yang mengelirukan dan menyalahi syarak khususnya dan bab ilmu Tauhid.

Menurut Lutfi lagi, setakat ini pihaknya menyediakan khidmat bantuan dan rundingan kepada isteri-isteri mahupun suami terbabit melalui landasan kumpulan Facebook dan kumpulan Whatsapp memandangkan saluran media sosial tersebut adalah paling popular dan digemari oleh masyarakat masakini.

Selaku presiden pertama pertubuhan itu, Lutfi turut mensasarkan Pakar menjadi seperti ‘one stop center’ atau satu hub perkhidmatan berlandaskan syarak yang akan menjadi rujukan untuk membantu sesiapa jua yang bermasalah dalam krisis rumah tangga dan sebagainya.

“Pengadu boleh mengemukakan permasalahan mereka ke saluran terbabit, pihak Pakar akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin sehingga ke tahap perlu bersemuka atau perlu ke mahkamah sekalipun asalkan ia mendapat pembelaan dan pengadilan,

“Buat masa ini Pakar dianggotai kira-kira 100 ahli yang terdiri daripada individu profesional dalam bidang perundangan (syariah & sivil), perubatan, psikologi dan kaunseling yang sentiasa menawarkan khidmat pada ahli2 yang menyokong PAKAR” katanya kepada Malaysiakita.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat bantuan Pakar, boleh menyalurkannya ke Facebook iaitu di alamat: http://www.facebook.com/pakar2018