KUALA LUMPUR – Pakar sejarah menggesa supaya Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran dan Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching tidak bercakap atau mengeluarkan sebarang kenya­taan mengenai sejarah negara ini tanpa merujuk kepada yang lebih pakar.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Pendidikan itu baru-baru ini dibimbangi boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu.

“Kedua-dua mereka mengeluar­kan kenyataan berkaitan sejarah negara yang bersifat spekulasi dan faktanya cukup goyah serta mudah untuk disangkal.

“Saya bimbang keadaan ini boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu yang masih terkejut dengan kerajaan Pakatan Harapan. Jadi mereka (Kula Segaran dan Nie Ching) perlu mengelak daripada berhujah mengenai sejarah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Kok Seong, perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah adalah lebih baik diserahkan kepada pakar dan pengamal sejarah kerana mereka lebih berkelayakan.

“Setiap perkara yang berkaitan sejarah perlu dikaji dengan teliti menggunakan kaedah dan disiplin tertentu, bukan boleh dilakukan secara semberono,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kok Seong turut menjelaskan sebelum datangnya semua agama di Tanah Melayu, masyarakat di negara ini berfahaman atheis iaitu tidak percayakan tuhan.

“Kalau ada agama sekali pun kebanyakan mereka menyembah pokok dan lain-lain. Sebab itu hal-hal yang berkaitan dengan sejarah, serahkan kepada pakar atau pengamal sejarah sahaja kerana mereka lebih berwibawa,” katanya.

Dalam nada yang sama, Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. S. R. Sivachandralingam berkata, semua pihak sepatutnya merujuk dahulu sesuatu fakta kepada pakar sejarah sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan umum.

Kata beliau, mereka boleh mengeluarkan sesuatu kenyataan sekiranya mereka mempunyai fakta yang tepat dan maklumat berkenaan datangnya daripada sumber yang sahih dan berwibawa.

“Apa yang berlaku ini biasa, semua akan jadi ‘pandir’ tetapi lebih elok rujuklah dahulu dengan pakar atau pengamal sejarah supaya masyarakat tidak keliru,” katanya.

Baru-baru ini, Kula Segaran dan Nie Chieng masing-masing mengeluarkan kenyataan yang dilihat meminggirkan mata pelajaran Sejarah dan kepentingannya.

Nie Chieng menegaskan hanya kepujian Bahasa Melayu diperlukan untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk masuk ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Sementara itu, Kula Segaran dalam kenyataannya pula menyebut Hindu merupakan agama awal yang dianuti penduduk Tanah Melayu dan Nusantara kemudiannya berkembang kepada ajaran Buddha sebelum Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15 dan mengaitkan keadaan itu sebagai alasan orang India bukannya pendatang di sini. – Utusan Online