Menanam budi, kadang-kadang hasilnya hadir tanpa perlu menunggu lama.

Mungkin itu yang mahu dinyatakan oleh Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, semasa mengulas perkembangan terkini situasi politik negara, terutama menjelang pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia.

Katanya pada PRK Sungai Kandis dulu beliau menggesa penyokong PAS memberikan undi kepada anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang menjadi calon, keadaan di Seri Setia menunjukkan keadaan yang lebih menarik.

Nik Mohamad Abduh berkata di Seri Setia tidak perlu lagi untuk beliau membuat sebarang gesaan kepada Umno hasil kepada penerokaan politik baru oleh kedua-dua parti.

“Semalam saya berkata, orang PAS undilah Umno. Hari ini saya tidak perlu lagi berkata, orang Umno undilah PAS. Ia sedang dan pasti berlaku insya-Allah,” katanya melalui satu hantaran di Facebook semalam.

Ia dimuat naik tidak lama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menerima dan mengesahkan Dr Halimah Ali sebagai calon PAS dalam PRK Seri Setia.

Pakatan Harapan (HARAPAN) pula meletakkan Halimey Abu Bakar, 46, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang kosong apabila penyandangnya, Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Perpecahan bukan kejayaan

Kerusi itu dimenangi allahyarham Shaharuddin dengan majoriti 19,372 undi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

PAS yang berdepan cabaran getir untuk merampas kerusi berkenaan, namun badan pemikir parti itu, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berkata mereka masih boleh memenangi PRK berkenaan dengan kelebihan undi yang tipis.

“Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa,” kata Nik Mohamad Abduh yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan anggota Jawatankuasa Pusat PAS pada tahun lalu itu.

Sementara itu menurut Nik Mohamad Abduh, orang PAS terdahulu memang cekal, tabah dan sabar menghadapi tekanan serta dendam Umno dan BN ke atas mereka.

Dalam keadaan begitu pun katanya mereka tetap tekal meneruskan perjuangan.

“Mereka istiqamah di jalan Allah dengan PAS dan perjuangan Islam. Dengannya mereka pasti mendapat laba besar di akhirat nanti insya-Allah.

“Hari ini, generasi baru adalah untuk Malaysia baru dan politik Islam yang lebih dinamik dan terbuka.

“Sejarah bukan untuk dibalas dengan dendam dan kemarahan. Ia pun bukan menambah pahala, bahkan mungkin saja meruntuhkannya kembali.

“Perpecahan bukanlah satu kejayaan untuk dikecapi,” jelasnya.-Malaysiakini