Oktoberfest seolah mencabar umat Islam

Oktoberfest seolah mencabar umat Islam

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Hak orang bukan Islam untuk minum arak adalah berbeza dengan pe­nganjuran pesta arak yang boleh memberi signal bahawa budaya itu diterima di negara ini.

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya berkata, pesta itu sendiri membawa konotasi berbeza ia­itu sesuatu yang besar, terbuka dan melibatkan orang ramai, membuatkannya seolah-olah mencabar umat Islam dan perundangan negara.

“Orang bukan Islam mendakwa itu adalah hak mereka, tetapi setiap hak ada tanggungjawab. Adakah mereka bersedia me­nerima tanggungjawab jika berlaku apa-apa unsur negatif hasil daripada pesta ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas isu penganjuran pesta arak Oktoberfest yang kini mendapat tentangan pelbagai pihak.

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam satu kenyataan berkata, penganjuran Oktoberfest adalah bertenta­ngan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang mengangkat kebudayaan Melayu dan pelbagai kaum lain dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

“Pesta ini adalah salah satu pesta yang berasal dari Jerman dan merupakan budaya asing yang tidak mempunyai tempat di negara ini.

“Justeru tidak timbul isu sama ada Oktoberfest dianjurkan secara terbuka mahupun tertutup kerana persoalan utamanya ialah acara sebegini amat tidak sesuai dengan budaya bangsa Malaysia yang luhur,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Serantau Muslim, Dr. Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pihaknya menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan tiada permohonan terhadap acara tersebut.

“Satu ketidakwajaran ialah kenapa perlu dinamakan pesta dan jelas tidak menggambarkan budaya kita. Agak pelik Oktoberfest ini tiada mana-mana pihak mengaku menjadi pe­nganjurnya secara terbuka,” katanya.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...