MANTAN perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan sama ada pergerakan reformasi pilihan raya, BERSIH telah membuat laporan polis terhadap PKR kerana melakukan kesalahan semasa pilihan raya kecil Sungai Kandis lalu.

Berita tersebar semalam bahawa polis tidak lama lagi akan menyoal-siasat Najib berhubung hantaran di Facebook miliknya pada hari mengundi pilihan raya kecil itu.

BERSIH sebelum ini membuat laporan yang mendakwa bahawa hantaran Najib pada 4 Ogos – yang menyeru para pengundi untuk menolak Pakatan Harapan dari kerusi DUN Selangor itu – ditakrif sebagai berkempen, justeru menjadikannya sebagai kesalahan pilihan raya.

Sambil menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama penuh dengan pihak polis, bekas perdana menteri itu mempersoalkan sama ada PKR juga akan dikenakan tindakan yang sama kerana kesalahan pilihan raya parti itu.

“Saya juga mahu tahu jika BERSIH telah membuat laporan-laporan polis yang sama terhadap PKR dan calon Sungai Kandis (Mohd Zawawi Ahmad Mughni) yang BERSIH sendiri pernah mendakwa telah melakukan kesalahan yang agak teruk semasa pilihanraya kecil itu.

“Ini merupakan peluang baik untuk NGO dan pihak kerajaan untuk membuktikan bahawa mereka berlaku secara adil dan tidak berat sebelah,” kata Najib dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau turut melampirkan paparan skrin mengenai artikel yang memetik NGO itu sebagai berkata bahawa mereka akan “menyiasat” kejadian di mana Mohd Zawawi kelihatan berkempen di sekolah rendah itu yang kebetulan adalah tempat membuang mengundi.

Najib juga menuntut penjelasan mengapa kenyataan media sebelum ini dari calon BN di Sungai Kandis – Datuk Lokman Noor Adam – yang menggesa BERSIH menjelaskan mengapa ia tidak membuat laporan polis terhadap PKR kerana melakukan kesalahan pilihan raya.

Malaysiakini telah menghubungi BERSIH untuk maklum balasnya.

Pada PRK Sungai Kandis lalu, Mohd Zawawi memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,842. Beliau mengalahkan Lokman dan calon Bebas K Murthy.-Malaysiakini