Najib selesai bayar wang jamin RM3.5 juta

Najib selesai bayar wang jamin RM3.5 juta

KUALA LUMPUR 28 Sept. — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi 25 pertuduhan jenayah selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hasil semakan di kaunter jamin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini  pada jam 9 pagi, mendapati  Najib, 65, telah selesai membayar wang  jaminan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Najib dibebaskan dengan wang  jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin sementera kesnya selesai dan menetapkan 16 November untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib untuk membayar jaminan itu secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar pada 21 September (Jumaat)  dan RM500,000 setiap hari sebelum atau pada  28 September.

Pada 21 September lepas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah membayar jaminan RM1 juta iaitu sebahagian daripada jumlah jaminan RM3.5juta itu.

Bayaran jamin itu dibuat anak lelaki Najib iaitu Mohammed Nizar dan seorang individu bernama Mohd Shahrir Arifin selaku penjamin.

Najib pada 4 Julai lalu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan  dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan  pada  8 Ogos lepas, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula  pada 4 Oktober.- Bernama

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...