Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengulang dakwaannya bahawa Anggota Parlimen Iskandar Puteri menyamakan Islam dengan kleptokrasi.

Beliau merujuk kenyataan Lim dalam bahasa Inggeris bertajuk: “Sungai Kandis by-election a crucial test whether Najib has succeeded in equating Islam with kleptocracy in Malaysia”.

Lim telah menafikan dakwaan Najib dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai ‘liar dan tidak berasas’, serta berkata semua agama mengajar manusia berbuat baik dan berlaku adil, selain membenci rasuah serta ‘kleptokrasi’.

Namun hari ini, Najib mempersoalkan mengapa Lim perlu membuat kaitan antara Islam dan kleptokrasi.

“Tajuknya jelas menunjukkan Kit SIang cuba mengaitkan Islam dengan kleptokrasi. Apa yang beliau cuba sampaikan adalah jika BN menang pilihan raya kecil (Sungai Kandis) maka ia bermaksud Islam sama dengan kleptokrasi.

“Pada masa yang sama, Kit Siang cuba menggambarkan Islam tidak akan sama dengan kleptokrasi hanya jika Pakatan Harapan menang pilihan raya kecil itu.

“Jika ini bukan maksud beliau jadi apa maksud beliau untuk membuat kaitan itu?” Soal Najib yang turut mendesak Kit Siang memohon maaf.

“Kit Siang patut memohon maaf dan tidak lagi cuba untuk mengaitkan Islam atau apa jua agama yang bukan anutannya,” kata MP Pekan.

‘BN jalankan kempen yang bersih’

Sebaliknya, Najib berkata BN menjalankan kempen yang bersih dalam PRK Sungai Kandis.

“Saya tidak mahu memanjangkan lagi isu ini kerana BN telah memberi tumpuan untuk menjalankan kempen yang bersih, sihat dan aman di mana, tidak seperti yang lain, kita tidak perlu menggunakan rasuah dengan durian percuma atau secara tidak sah menggunakan kemudahan sekolah untuk berkempen.

“Bagaimanapun, percubaan Kit Siang yang mengaitkan Islam dengan kleptokrasi itu cukup amat dikesali,” katanya.

Lim dalam kenyataan yang dirujuk Najib telah mengkritik bekas presiden Umno itu kerana memainkan isu kaum, agama dan ketakutan pada PRK Sungai Kandis.

“Umno kehilangan kedudukannya yang tidak dicabar sebagai parti politik dengan sokongan majoriti pengundi Melayu dalam PRU14 kerana terdapat pengundi Melayu yang mencukupi yang bijak dan cukup rumit untuk melihat melalui penipuan propaganda itu, dan menolak politik toksik dan ganas daripada Najib.

“Mereka tidak mahu, khususnya, untuk menyamakan Melayu dan Islam dengan kleptokrasi,” kata Lim.

Pilihan raya kecil pada 4 Ogos ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon Umno Lokman Adam, PKR Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas K Murthy.

PAS tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei, PKR menang Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi dan calonnya Mat Shuhaimi Shafiei memperoleh 23,998 undi. – Malaysiakini