KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendesak veteran DAP, Lim Kit Siang memohon maaf atas kenyataan menuduh Islam sebagai bersamaan kleptokrasi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, Kit Siang bagaimanapun mengambil pendekatan luar biasa dan pelik apabila berkeras mahu menganjurkan debat umum dengan tajuk ‘Islam bukan kleptokrasi’ walaupun sudah mengakui kesalahannya.

Beliau turut menyelar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, sebagai tidak mempunyai hak untuk membuktikan Islam atau mana-mana agama ialah atau bukan kleptokrasi.

“Sudah-sudahlah Kit Siang. Hentikanlah memainkan atau mahu memburukkan mana-mana agama terutama Islam demi nafsu politik anda,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Kit Siang membuat kenyataan dalam bahasa Inggeris bertajuk, ‘Sungai Kandis by election a crucial test whether Najib has succeeded in equating Islam with kleptocracy in Malaysia’

Sementara itu, Najib menggesa Kit Siang berhenti memfitnah beliau yang bukan lagi pemimpin tertinggi negara dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mencabar Kit Siang supaya menganjurkan debat dengan tajuk, ‘Kerajaan Pakatan Harapan dan janji manis atau Adakah Rakyat Ditipu Dengan Manifesto Pakatan’.

“Agak menarik sebenarnya, biarpun Julai belum sampai ke penghujung, Kit Siang sudah mengeluarkan 26 kenyataan dalam bulan ini sahaja untuk menyerang saya. Dia patut hentikan obsesi terhadap saya. Saya bukan lagi Perdana Menteri ataupun presiden BN.

“Nasihat saya, lebih baik anda menumpukan perhatian bagi menjelaskan mengapa masih banyak janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak ditunaikan dan beri alasan munasabah mengapa rakyat tidak perlu rasa ditipu. Hanya tinggal 20 hari lagi sebelum genap 100 hari (tarikh tamat janji manifesto PH),” katanya.

Sementara itu, Kit Siang, dalam satu kenyataan, mencabar Najib, yang didakwanya sebagai pemimpin yang gagal mendidik rakyat negara ini berhubung ‘kleptokrasi’ berdebat dalam forum terbuka ‘Islam bukan Kleptokrasi.”

“Semalam, saya sudah mencabar sesiapa sahaja, terutama pemimpin UMNO dan PAS, yang mendakwa saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi untuk tampil berdebat dengan berani dan jelas kepada rakyat Malaysia berhubung perkara ini. Mereka boleh tunjukkan kepintaran mereka dan moral, yang saya tidak pernah meremehkan Islam atau agama lain,” katanya.

Kit Siang menyifatkan Najib bertindak seorang diri menyerang peribadi beliau kerana tidak lagi mendapat sokongan kroni untuk menepis semua tuduhan.

“Saya mencabar Najib berdebat di forum terbuka, ‘Islam bukan kleptokrasi’. Terima cabaran dan wakil kami akan menentukan tempat, tarikh dan masa untuk berdebat,” katanya. -BH Online