Najib bermalam di lokap SPRM

Najib bermalam di lokap SPRM

KUALA LUMPUR 19 SEPT. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini untuk diambil ketera­ngan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, Najib kemudian akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang esok untuk pertuduhan.

Terdahulu, Najib ditahan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 4.13 petang berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemasukan wang RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau.

Beliau dilaporkan tiba di Ibu pejabat SPRM pada pukul 3 petang selepas dipanggil suruhanjaya itu untuk memberi ketera­ngan berhubung kes tersebut.

Dalam pada itu Azam memberitahu, sebelum dibawa ke mahkamah petang esok, Najib akan dibawa ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini pada sebelah pagi untuk dirakam percakapannya oleh pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, anak Najib, Nooryana Najwa menerusi akaun Instagram miliknya menzahirkan rasa bimbang setelah mengetahui bapanya ditahan sekali lagi.

Nooryana kecewa kerana ti­dak berpeluang untuk bertemu dengan bapanya kerana berada di Boston, Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran.

Sebelum ini, Najib telah didakwa di mahkamah atas tujuh pertuduhan. Pada 4 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri itu didakwa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn. Bhd., dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...