KUALA LUMPUR, 8 Ogos – 12 lagi cawangan pusat servis Proton Holdings Bhd diluluskan bagi status 3S dan 4S, dengan enam daripadanya adalah pengedar baharu.

Status 3S bagi pusat yang menawarkan khidmat jualan, servis dan alat ganti manakala 4S pula memberikan khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat.

Dalam kenyatan hari ini, Proton berkata, setakat ini, 93 cawangan telah diluluskan bagi naik taraf kepada status 3S dan 4S sekali gus mencapai 85 peratus daripada yang disasarkan.

Terdapat 16 lagi cawangan perlu dinaik taraf dalam usaha mencapai sasaran 109 outlet, yang diyakini dapat direalisasikan Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa berkata semua rancangan sedang dilaksanakan, dengan kebanyakan negeri memenuhi kuota mereka bagi naik taraf outlet kecuali Melaka, Johor, Terengganu, Perak dan wilayah tengah. — Bernama