KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas mengkritik ahli Parlimen kerajaan berkaitan polisi bagi menjamin hak wanita muslim menutup aurat dalam setiap bidang pekerjaan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang,Siti Zailah Mohd Yusof hari ini mengkritik Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berhubung cadangannya untuk memformulasi polisi bagi menjamin hak wanita muslim menutup aurat.

Zailah berkata, kewajipan menutup aurat bagi seorang wanita muslim merupakan suatu kemuliaan diberikan oleh Islam.

“Dan bukannya menyalahkan golongan wanita sebagai punca gangguan seksual.

“Pandangan Petaling Jaya (Maria Chin) kelihatan terlalu pesimis terhadap hukum agama,” katanya pada sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, ketika sesi penggulungan Kementerian Tenaga Manusia, M Kula Segaran, Zailah membangkitkan keperluan kerajaan memformulasi polisi bagi menjamin hak wanita muslim menutup aurat dalam setiap bidang pekerjaan dan larangan diskriminasi terhadap mereka.

Bagaimanapun, Maria Chin menyanggah perkara berkenaan dan seolah-olah pemakaian menutup aurat itu sebagai “menyalahkan golongan wanita” dalam isu gangguan seksual.

Mengulas lanjut, Zailah turut menegaskan bahawa hak wanita muslim menutup aurat perlu dipelihara secara dasar oleh kerajaan berdepatan dengan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan isu gangguan seksual bahkan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita itu sendiri.

“Saya berharap agar kerajaan yang baharu melakukan perubahan dan tidak mengikuti polisi-polisi lama yang seringkali meminggirkan hak wanita muslim di negara ini,” katanya.

Zailah turut menyeru semua ahli parlimen wanita muslim yang lain supaya bersama menyatakan pendirian berkenaan isu ini.

Sementara itu, Maria Chin dalam sidang medianya pula berkata pandangan yang dibuatnya sebelum ini adalah bukan pakaian yang menyebabkan gangguan seksual.

Maria berkata, adalah lebih baik jika negara ini mempunyai dasar bagaimana mahu meningkatkan perkhidmatan dalam syarikat penerbangan.

“Dan saya rasa pakaian bukan satu isu yang menyebabkan gangguan seksual”.

“Saya tidak menentang seseiapa yang memakai tudung atau hijab itu bukan daripada saya”.

“Pandangan saya itu terserah mereka untuk pakai hijab tapi jangan gunakannya sebagai sebab untuk gangguan seksual,” katanya. – Sinar Harian