KOTA KINABALU, 9 Ogos — Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, dekat sini, akan menjadi mercu tanda baharu bagi Sabah apabila bangunan ikonik setinggi enam tingkat yang siap dibina pada April lepas itu beroperasi sepenuhnya pada September depan.

Bangunan baharu bernilai RM177 juta itu dibina di atas tanah seluas 2.53 hektar dengan dilengkapi 16 bilik bicara terdiri daripada satu Mahkamah Persekutuan, tiga Mahkamah Tinggi, enam Mahkamah Sesyen termasuk Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak dan enam Mahkamah Majistret.

Kompleks itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang pejabat mengandungi kamar hakim; bilik persidangan; bilik mesyuarat; perpustakaan; selain kemudahan sistem teknologi maklumat termasuk sistem Rakaman Transkrip Mahkamah dan internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V.K Liew berkata pembinaan dan penyediaan prasarana serba lengkap bagi keperluan badan kehakiman itu akan menjadi kebanggaan buat warga Sabah termasuk pengamal undang-undang di negeri ini.

“Saat inilah yang sangat dinanti-nantikan bukan hanya bagi badan kehakiman dan kalangan pengamal undang-undang tempatan, tetapi juga bagi penduduk Sabah,” katanya menyaksikan majlis penyerahan projek kompleks baharu itu, di sini hari ini. – BERNAMA