Oleh Mohd Puad Zarkashi

Komen saya ini panjang sedikit untuk mengulas tulisan terbaru Kadir Jasin. Membaca komen beliau kononnya ada pertemuan sulit antara Mahathir-Zahid untuk mengujudkan gabungan UMNO-PPBM atas nama baru Pekembar-Bersatu memang meyakitkan hati kepada ahli biasa UMNO. Ia provokasi, seolah olah UMNO hidung tak mancung pipi tersorong sorong. Pada Kadir, UMNO dengan 51 kerusi Parlimen akan melutut kepada Tun Mahathir-PPBM yang hanya ada 13 kerusi sahaja.

Kadir lupa dengan 13 kerusi itu sebenarnya nyawa PPBM dihujung tanduk. Dengan keputusan Anwar kembali ke Parlimen, maka segala kemungkinan boleh berlaku. PPBM, Mahathir, Daim termasuk Kadir sudah tidak selamat.

Kadir jangan nafikan persepsi di tepi jalan bahawa PPBM banyak melutut kepada DAP daripada PKR untuk terus bernyawa. Di tepi jalan orang mula bersuara “Apa jadi kerajaan PH ini”. “Kerajaan PH semakin teruk”. Cuma suara suara mereka ini belum kuat sebagai satu kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan Tun Mahathir. Apakah Anwar akan lead kebangkitan ini?

Kadir tidak boleh berbangga dengan kemenangan tiga pilihanraya kecil (PRK) sebagai ukuran kerjasama UMNO-PAS tidak ke mana. Kadir kena ingat, persepsi rakyat sekarang ini mula melahirkan bibit asalkan bukan Mahathir (ABM). Mereka suka kalau Mahathir jatuh terlebih dulu. Rakyat sanggup bekerjasama untuk jatuhkan Mahathir walaupun terpaksa bekerjasama dengan Anwar.

Sebab itu Kadir jangan lupa peristiwa Kerajaan 16 September (hari ini). Apabila berlaku “Langkah Pauh”, matlamat Anwar ketika itu ialah untuk menjatuhkan Kerajaan BN melalui undi tidak percaya di Parlimen. Anwar mendakwa sudah ada 30 MP BN tandatangan akuan bersumpah bersetuju beliau menjadi Perdana Menteri.

Maka apakah Kadir mahu menafikan dengan skrip yang sama melalui “Langkah PD”, Anwar tidak akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Mahathir yang hanya ada 13 kerusi itu? Lagi pun rakyat di tepi jalan pun percaya Mahathir tidak akan benarkan Anwar jadi Perdana Menteri ke 7.

Apatah lagi Anwar ada alasan kukuh, iaitu Mahathir sekarang bukan lagi Mahathir dulu. Mahathir sekarang nampak tidak kuat fizikal dan mental, pelupa, lebih banya di rumah dari di pejabat. Sebab itu dia banyak bergantung kepada CEP sehinggakan Kabinet Kerajaan hanya buat kerja ceremonial sahaja.

Kadir mendakwa PPBM tidak akan menerima UMNO. Ia hanya akan menerima individu UMNO yang bersih. Justeru katanya, ramai lagi pemimpin UMNO akan didakwa. Beliau nampaknya mengesahkan, akan berlaku cleansing terhadap UMNO. Proses balas dendam melalui pendakwaan adalah rancangan konspirasi.

Ia satu pengakuan semua agensi penguatkuasa akan digunakan. Untuk Kadir, suka diingatkan, kalau ia satu ugutan dan konspirasi untuk menjahanamkan UMNO, ahli UMNO sudah biasa dengan “Pemimpin datang dan pemimpin pergi”. Ahli UMNO tidak boleh diugut hatta dengan Tun M yang keluar masuk UMNO.

Sebab itu Zahid mencari nahas kalau mahu menjual UMNO untuk kepentingan beliau. Kalau benar ada perundingan untuk mengujudkan Pekembar-Bersatu, ahli UMNO sudah biasa dengan pemimpin datang dan pemimpin pergi. Ahli UMNO tetap kekal dengan UMNO Perjuangan.

Kadir juga cuba menghina UMNO sebagai pengemis. Katanya “UMNO is now like a chick, that has lost its mother hen-cold, hungry and scared. Its moving here and there, looking for shelter”.

Kadir tidak boleh menyamakan UMNO dengan dirinya. UMNO bukan pengemis seperti beliau yang sudah lama terpinggir tetapi kini mendapat tempat berteduh baru (shelter) di bawah Mahathir. Dia boleh jadi pengemis bila Anwar menjadi Perdana Menteri nanti. Manakala UMNO sudah lama dilatih dan bersedia untuk di tinggalkan oleh pemimpinnya yang mahu jadi “Pengemis”.

16 September 2018 / 7 Muharram 1440