Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming hari ini mempersoalkan sama ada MCA berpendapat kerajaan perlu menghapuskan hak bumiputera apabila mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng menghentikan “Kongres Bumiputera”.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun, yang menggesa setiausaha agung DAP itu menghentikan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018), serta tidak menggunakan sentimen perkauman menjelang pilihan raya kecil Balakong.

“Dalam manifesto kami, kami tidak berjanji yang kami tidak akan mengadakan kongres seperti ini, dan tidak berjanji untuk menghapuskan dasar ekonomi bumiputera,” kata Ong kepada Malaysiakini pada kempen pilihan raya kecil Balakong.

“Saya tidak tahu kenapa MCA menghasut perkara ini. Adakah mereka fikir kerajaan harus menghapuskan hak mereka (bumiputera)? Adakah MCA mahu menghapuskan hak bumiputera?,” soalnya.

Beliau seterusnya mencabar pemimpin MCA untuk menjelaskan pendirian parti itu dalam isu berkenaan.

Ong menegaskan bahawa adalah sukar bagi negara untuk mencapai status negara maju jika status ekonomi bumiputera tidak bertambah baik.

Sementara itu, calon DAP Wong Siew Ki berkata, isu-isu yang dibangkitkan calon MCA, Tan Chee Teong pada pilihan raya kecil itu telah pun dilaksanakan kerajaan Selangor.

“Perkara-perkara dalam manifesto beliau adalah mengenai ‘menggesa’ kerajaan semasa melaksanakan dasar-dasar, tetapi sebenarnya kerajaan Selangor telah melakukannya,” ujarnya.

Sebaliknya, Wong berkata, Tan sepatutnya menjelaskan mengenai pencapaian politik MCA setakat ini.

“Adakah MCA bersuara untuk mengkritik kerajaan terdahulu apabila kes rasuah berlaku? Jika tidak, mengapa rakyat perlu percaya bahawa kamu akan jadi pembangkang yang baik dalam dewan undang negeri?” soalnya.

Wong berkata keempat-empat komponen parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) memainkan peranan mereka dalam melaksanakan proses semak dan imbang.

Beliau memberikan contoh dua timbalan menteri iaitu Steven Sim dan Ong sendiri mempunyai pengalaman ‘dikritik’ oleh pemimpin lain dalam HARAPAN.

“Apabila kita mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak wajar, pemimpin parti komponen lain akan mengkritik kita juga,” katanya.

Wong juga mengingatkan MCA bahawa mereka masih boleh memainkan peranan dalam proses semak dan imbang tanpa berada dalam dewan undangan negeri.-Malaysiakini