Manifesto bukan wajib untuk ditunaikan

Manifesto bukan wajib untuk ditunaikan

 

KIRA-KIRA 40 tahun lalu, seorang hakim terkenal Inggeris, Lord Denning dalam satu perbicaraan kes berkaitan manifesto pilihan raya menyatakan:
“Manifesto parti politik bagi tujuan mendapatkan undi tidak boleh dianggap sebagai Bible, juga tidak boleh mengikat kerana ia mungkin mengandungi dan sering kali mengandungi janji atau cadangan yang agak tidak boleh dilakukan atau mustahil dicapai,”.

Di Malaysia, kegagalan memenuhi manifesto pernah dirujuk ke mahkamah melibatkan kerajaan PKR Selangor berhubung janji skim elaun khas kepada ibu tunggal yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), 10 tahun lalu.

Merujuk keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes berkenaan yang merupakan satu-satunya kes seumpamanya di negara ini, janji pilihan raya sesebuah parti politik tidak membawa kesan mengikat seperti mana sebuah kontrak dan doktrin harapan yang sah tidak harus terpakai.

Apa yang berlaku dalam kes berkenaan, 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman pada 2011 untuk menuntut janji dibuat PKR dan sekutu mereka pada kempen PRU-12 mengenai elaun kepada ibu tunggal.

Seperti diketahui, Mahkamah Rayuan membatalkan saman sivil berkenaan dan panel hakim menyatakan manifesto yang dibuat parti politik ketika kempen hanya bertujuan menarik pengundi dan tanggungjawab untuk memenuhi janji pilihan raya hanyalah berbentuk moral, tidak lebih daripada itu.

Malah Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Yunus, Datuk Abdul Aziz Rahim dan Datuk Mohamad Arif Yusof turut menyatakan terdapat undang-undang di United Kingdom (UK) yang menyatakan manifesto tidak mengikat kerajaan dan mahkamah mengambil kira prinsip berkenaan.

Ini seperti dinyatakan Lord Denning dalam Bromley London Borough Council v Greater London Council 8 [1982] 1 All ER 129. Keputusan Lord Denning di peringkat Hakim Mahkamah Rayuan seperti dinyatakan di awal rencana ini kemudian turut dipersetujui panel hakim di peringkat House of Lords termasuk Lord Diplock.

Menariknya, antara dua kes ini terdapat perbezaan fakta kerana di Malaysia pihak yang menang diseret ke mahkamah akibat gagal menunaikan janji, tetapi di UK pula sebaliknya.

Pihak yang menang komited menunaikan manifesto tetapi tindakan tersebut dirujuk ke mahkamah kerana terpaksa menaikkan cukai bagi membolehkan manifesto dilaksanakan.

Semuanya bermula dalam sebuah pilihan raya tempatan di London pada 1981. Parti Buruh menjanjikan penurunan tambang pengangkutan bas dan tube dalam tempoh enam bulan tetapi setelah menang, untuk melaksanakannya mereka terpaksa menaikkan cukai tertentu.

Walaupun pengguna pengangkutan awam gembira, namun pembayar cukai berkenaan tidak berpuas hati dan membawa kes ini ke mahkamah yang akhirnya memihak mereka.

Hakim-hakim dalam kes berkenaan dalam penghakiman kes tersebut turut mengingatkan tiada keperluan untuk membuatkan diri terikat sepenuhnya kepada manifesto andai akhirnya menyebabkan kesan lain.

Apa pun, keputusan mahkamah cukup jelas kerana meletakkan kerajaan serta rakyat dalam keadaan terbaik. Seandainya diputuskan manifesto wajib dilaksanakan, perkara yang tergolong dalam ‘janji manis’ pastinya boleh menjerumuskan negara dalam bahaya yang lain seperti masalah hutang.

Oleh itu, remedi kepada kegagalan menunaikan manifesto bukan menerusi mahkamah tetapi kembali kepada saluran politik menerusi peluang diberikan lima tahun sekali.

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...