SETIU, 6 Ogos – Malaysia berpotensi mengatasi Indonesia sebagai pengeluar utama terumbu karang dunia secara komersial sekiranya usaha tersebut diuruskan secara sistematik, mengikut protokol serta mendapat kerjasama agensi berkaitan.

Sehubungan itu, Presiden Yayasan Coral Malaysia (YCM), Jamhariah Jaafar berkata agensi seperti Jabatan Perikanan perlu memanfaatkan peluang itu dengan meningkatkan pemberian lesen kepada lebih ramai peladang terumbu karang.

Ini berikutan YCM adalah satu-satunya peladang terumbu karang berlesen di negara ini dan tidak mampu memenuhi permintaan yang terus meningkat dari serata dunia.

Menurutnya, harga setiap terumbu karang spesies acropora bersaiz 2.5-4 sentimeter yang terdapat di perairan Malaysia, boleh mencecah lebih US$100 dolar.

Malah, katanya, peluang yang ada wajar direbut memandangkan Indonesia kini bertindak membekukan sementara pengeluaran terumbu karang kerana dalam proses penstrukturan semula industri itu. — Bernama