Mahkamah kelihatan ‘tandas awam’ 100 pekerja lancar mogok

Mahkamah kelihatan ‘tandas awam’ 100 pekerja lancar mogok

KUALA LUMPUR 29 Julai – Keadaan Kompleks Mah­kamah Jalan Duta kelihatan seperti ‘tandas awam’ ekoran 100 petugas pembersihan kompleks itu melancarkan mogok sejak seminggu lalu sehingga memaksa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum sendiri turun padang mengetuai gotong-royong membersihkan kompleks itu hari ini.

Beliau yang tiba pukul 9.34 pagi itu dilihat mengadakan ‘lawatan’ pertamanya ke bangunan itu sejak dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman bersama-sama hakim, pegawai dan kakitangan bangunan itu bergotong-royong membersih­kan serta menanam pokok di persekitaran kompleks tersebut.

Turut bersama-sama membersihkan bangunan kehakiman itu adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim bersama-sama 10 hakim dari Istana Kehakiman Putrajaya dan Mahkamah Jalan Duta termasuk Datuk Wan Ahmad Farid, Datuk Suffian Abdul Razak, Datuk Ahmad Firuz Jaffil dan Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab.

Seorang kakitangan yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak 23 tahun bekerja di kompleks mahkamah berkenaan, ini merupakan kali pertama keadaan seteruk itu berlaku sehingga menyebabkan Ketua Hakim Negara sendiri terpaksa turun padang.

Difahamkan kira-kira 100 daripada 120 pekerja bangunan mahkamah itu melancarkan mogok sejak 7 Julai lalu kerana tidak dibayar gaji bermula Hari Raya Aidilfitri lepas.

Bagaimanapun kenyataan itu disangkal oleh syarikat penyelenggaraan, Perfect Three Solution Sdn. Bhd., yang memberitahu, masalah itu adalah ekoran salah faham antara kedua-dua pihak sejak minggu lalu.

Bercakap kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Richard berkata, syarikat penyelenggaraan memberi jaminan yang mereka akan mengatasi masalah itu esok.

‘‘Esok kita boleh lihat tukang cuci seperti biasa. Saya akan kembali esok bagi memeriksa sama ada masalah itu masih berlarutan atau sebaliknya,” kata­nya di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong ketika dihubungi berkata, beliau telah mengarahkan pihak Pendaftar Istana Kehakiman Putrajaya yang mengendalikan isu penyelenggaraan Kompleks Mahkamah Jalan Duta supaya menghantar laporan berhubung kejadian itu hari ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...