KELANA JAYA, 12 Ogos — Malaysia Airlines Bhd (MAB) memerlukan seramai 150 juruterbang tambahan berbanding 927 orang ketika ini dalam usaha memperkukuh sistem operasi kendalian kumpulan pesawatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan nasional itu yang menyasarkan untuk berupaya menormalkan operasi menjelang awal 2019, juga telah merekrut seramai 62 juruterbang baharu.

“Bagaimanapun  (perkara lazim seperti) persaraan dan tindakan juruterbang merebut peluang lebih baik yang berlaku secara berterusan memerlukan usaha penggantian mereka serta pengambilan barisan juruterbang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian di luar majlis graduasi atau tamat latihan sekumpulan anak kapal termasuk juruterbang MAB di sini dekat Petaling Jaya, pada Jumaat.

Malah, syarikat penerbangan nasional itu yang masih dalam proses pemulihan organisasinya, mencatat pertumbuhan tempat duduk sedia ada bagi setiap kilometer (ASK) yang tinggi dan berdepan kekurangan juruterbang pada pertengahan suku kedua tahun ini, katanya. — BERNAMA