Oleh Mohd Puad Zarkashi

Dua hari lalu berlaku pengundian supaya Sales Tax Bill dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Select Committee). Usul itu dikemukakan oleh Datuk Ronald Kiande (BN). Hanya 51 menyokong dan 111 menentang. Semalam Service Tax Bill pula diluluskan.

Kini nyawa  Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bergantung kepada Dewan Negara kerana majoritinya adalah Senator Barisan Nasional (BN).

Kerajaan Pakatan Harapan  (PH) memang keras kepala, degil dan buta. Lim Guan Eng akui Kerajaan kehilangan hasil negara sebanyak RM17 Bilion bila GST ditamatkan. Kemudian berlaku di depan mata, harga barang tidak turun pun setelah GST sifar dilaksanakan. Semua tahu pengalaman lepas, iaitu ketirisan akan berlaku bila SST diperkenalkan. Tetapi kenapa SST diteruskan juga?

Guan Eng dakwa bila SST dilaksanakan hasilnya dipulangkan pada rakyat. Apa yang dipulangkan? Kalau setakat barangan yang dikenakan SST cuma 6,400 item berbanding GST 11,115, item itu tidak membawa makna besar kepada rakyat.

Dia bangga 7,000 restoran yang pendapatannya kurang RM1 Juta dikecualikan dari SST. Justeru menurut beliau ini membawa kegembiraan mereka yang suka makan roti canai, nasi goreng dan kuay teow. Sedangkan pulangan yang dituntut oleh rakyat ialah harga barang akan turun bila GST dihapuskan.

Sebenarnya apa yang berlaku, rakyat lebih banyak “kehilangan” bila GST dihapuskan. Antaranya, tiada kenaikan gaji dan bonus, penangguhan bayaran hutang PTPTN dibatalkan, tajaan MyBrain tangguh, ribuan pekerja kontrak diberhentikan, pengambilan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ditangguhkan dan projek projek “game changer” seperti MRT3 dan  Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ditangguhkan.

Sejak jadi Menteri Kewangan, kerja Lim Guan Eng ialah alih isu, buat pendedahan separuh masak, menuding jari dan “cari salah” Kerajaan BN.

Dua hari lepas, Lim Guan Eng dakwa Kerajaan BN telah mencuri wang GST kononnya wang refund GST tidak dimasukkan ke dalam akaun amanah tetapi dimasukkan ke akaun Consolidate Fund dan dianggap sebagai revenue.

Apakah bila dipulangkan kepada rakyat melalui BRIM, itu dianggap “curi”? Guan Eng kata dia minta penjelasan Ketua Setiausaha Negara, di lobi Parlimen dia minta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharan beri penjelasan. Itulah cara Guan Eng, buat tuduhan separuh masak.

9 Ogos 2018/27 Zulkaedah 1439