AMPANG: Lebih 10 tahun penduduk Ukay Perdana, di sini, berjuang mendapatkan sebuah masjid demi keselesaan ahli kariah beribadat serta melakukan aktiviti berkaitan keagamaan dan kemasyarakatan.

Walaupun memakan masa lebih sedekad, perjuangan itu berbaloi apabila pembinaan Masjid Ukay Perdana yang diidamkan ahli kariah akhirnya siap sepenuhnya penghujung tahun lalu.

Sejak Disember lalu, penduduk Ukay Perdana tidak perlu lagi menumpang di masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat, malah isu kesesakan jemaah di Surau Al-Taqwa di Ukay Perdana 3, di sini akibat pertambahan penduduk juga dapat diatasi.

Setiausaha Masjid Ukay Perdana, Ngasri Jaafar berkata, pelbagai cabaran dihadapi jawatankuasa pembinaan masjid sejak 2005 sepanjang perbincangan dilakukan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Banyak kali desakan dilakukan pihak kami sehingga menerima kelulusan pembinaan masjid melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Tender projek kemudian dikeluarkan pada 2012 dengan kos dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri.

“Walaupun masjid mula dibina 2013, kontraktor dilantik gagal menyiapkan projek memaksa kontraktor baharu dilantik.

RUANG mengambil air semabahyang di Masjid Ukay Perdana, Gombak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

PINTU masuk Masjid Ukay Perdana, Gombak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

“Isu itu berlarutan sehingga 2015 sehinggalah kontraktor ketiga dilantik berjaya menyiapkan pembinaan masjid. Ia kemudian diserahkan kepada JAIS, sebelum penyerahan kepada jawatankuasa masjid disempurnakan,” katanya.

Ngasri berkata, walaupun masjid menelan kos RM 13 juta ini siap, banyak lagi kemudahan perlu dibangunkan pihak pengurusan masjid.

“Jika diikutkan kemudahan asas seperti ruang solat, tempat wuduk dan tandas disediakan dengan baik oleh kontraktor. Bagaimanapun kita masih memerlukan penambahan seperti alat penyaman udara, kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan menerusi sumbangan dan infak penduduk.

“Selain itu, kami berunding dengan JAIS untuk menambah kemudahan lain seperti bilik seminar dan kuliah untuk memudahkan jemaah menganjurkan program,” katanya.

Ngasri berkata, sepanjang tujuh bulan Masjid Ukay Perdana beroperasi, pelbagai program mula diatur.

Kerjasama dengan NGO

Selain program bersama penduduk sekitar, penyertaan luar menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membantu mengimarahkan masjid baharu ini.

“Ada dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid terbabit dalam NGO di sekitar Ukay Perdana. Jadi program dianjurkan oleh masjid turut digabungkan dengan NGO yang secara tidak langsung memberi peluang penyertaan kepada jemaah dari luar Ukay Perdana.

KURSUS cara penyembelihan kambing di Masjid Ukay Perdana, Gombak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

PERSERTA menjalani kursus cara penyembelihan kambing di Masjid Ukay Perdana. – Foto Nurul Shafina Jemenon

“Sempena 100 hari pentadbiran Masjid Ukay Perdana pula, kami mengadakan pelbagai aktiviti dan pengisian yang membabitkan penduduk sekitar seperti ceramah perdana, pertandingan kanak-kanak dan juga acara larian.

“Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di sini, sekali gus dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sempena Aidiladha tidak lama lagi, Ngasri berkata pihak masjid tidak ketinggalan menganjurkan majlis korban, malah seminar penyembelihan korban dan akikah turut diadakan dengan dikendalikan Ustaz Abdul Halim Zakaria.

“Program ini pertama kali kita anjurkan, tetapi sambutan yang diterima daripada penduduk begitu menggalakkan.

“Kami menjangkakan pada hari raya nanti ramai penduduk di sini tidak akan pulang ke kampung, jadi mereka akan tertumpu di masjid untuk melaksanakan ibadat korban.

“Jadi pada tahun pertama ini, pihak masjid memperuntukkan 15 ekor lembu untuk ditumbangkan pada Aidiladha nanti,” katanya.

RUANG mengambil air semabahyang di Masjid Ukay Perdana, Gombak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

TANDAS untuk kegunaan OKU turut disediakan di Masjid Ukay Perdana, Gombak. – Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO:
Masjid Ukay Perdana

  • RM 13 juta – kos pembinaan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri Selangor
  • Pembinaan siap sepenuhnya Disember 2017
  • Mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah dalam satu-satu masa

BH Online