KUALA LUMPUR 25 Sept. – Penahanan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menghangatkan spekulasi bahawa kemungkinan lebih ramai dalam kalangan bekas menteri Kabinet dan pemimpin kanan UMNO akan ditahan dalam masa terdekat.

Sejak beberapa bulan lalu beberapa pemimpin utama daripada kerajaan terdahulu telah dipanggil dan didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), salah guna kuasa dan penyelewengan.

Bekas Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak antara pemimpin dipanggil dan didakwa di mahkamah berhubung skandal 1MDB dan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Selain itu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor pula dipanggil esok pada pukul 10 pagi ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana dalam SRC International.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga tidak terkecuali apabila dipanggil SPRM mengenai dakwaan penyelewengan ke atas Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, tiada sebarang penyelewengan berhubung perkara itu dan apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Dalam pada itu, SPRM menahan Abdul Azeez selepas didakwa menerima rasuah membabitkan pelbagai projek di bawah kerajaan sejak 2015 sehingga sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRu-14) bernilai RM100 juta.

Menurut sumber, turut ditahan bersama ialah abangnya, Abdul Latif dan seorang lelaki yang bertindak sebagai runner dipercayai menjalankan perniagaan agensi pelancongan.

Ujarnya, ketiga-tiga mereka dibawa ke Ibu pejabat SPRM pada kira-kira pukul 11 pagi ini bagi siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Putrajaya esok untuk permohonan reman.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan kes menerima rasuah,” katanya di sini hari ini.

Sumber memberitahu, anak tiri Najib, Riza Aziz turut dipanggil buat kali kelima ke Ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan bagi siasatan lanjut mengenai dakwaan menyeleweng dana 1MDB untuk menerbitkan sebuah filem di Hollywood, Amerika Syarikat.