KUALA LUMPUR, 14 Ogos —  Matlamat penubuhan serta proses pemerkasaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah antara topik utama yang bakal dibincangkan di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara pada 1 September ini.

Malah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rumusan yang dicapai pada kongres itu akan dijadikan teras pelaksanaan dasar-dasar baharu dalam Kajian Separuh Penggal akhir tahun ini.

Beliau turut menegaskan, MARA yang kini diletakkan di bawah kementeriannya, akan turut dipertingkatkan dari sudut struktur ekonomi orang Melayu dan Bumiputera khususnya sektor pemilikan, keusahawanan dan juga ekonomi mereka.

“Ini adalah antara perkara-perkara yang akan dibahaskan pada kongres tersebut. Rumusan yang dicapai akan digunakan untuk melaksanakan dan menggubal dasar-dasar baharu dalam kajian separuh penggal hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) tahun 2018 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018  di Parlimen, hari ini.