KUALA LUMPUR, 31 Julai — Met Galleria, ruang komersial berkelas tinggi, bakal menjadi tarikan terbaharu kepada pembangunan KL Metropolis Naza TTDI Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya Datuk Idzham Mohd Hashim berkata ruang kedai setinggi dua tingkat itu yang bernilai RM160 juta, akan menjadi pilihan utama kepada peruncit.

“Met Galleria di Jalan Duta Emas di sini bermatlamat memenuhi 350,000 penduduk sedia ada di kawasan sekitar, serta pemilik pembangunan kediaman yang akan datang (di KL Metropolis), pengunjung dan pekerja dari pejabat-pejabat berhampiran Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Met Galleria kepada pemegang kepentingan hari ini.

Setakat ini, 15 peratus daripada pembangunan telah dibina dengan baki selebihnyanya dijangka siap pada suku pertama 2021.

Sebanyak 40 peratus daripada ruang di Met Galleria akan diperuntukan bagi makanan dan minuman, 20 peratus bagi kedai konsep runcit dan bakinya adalah bagi penyewa utama, perkhidmatan dan kedai berkonsep runcit sementara. — Bernama