Oleh Mohamad Al Fatih

Apabila Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah, rakyat Malaysia semakin ‘buka mata’ betapa kerajaan Pakatan Harapan tidak bersandar kepada prinsip rule of law. Kuasa politik kerajaan dilihat menguasai mahkamah dan hakim.

Ia satu lagi tragedi hitam buat negaa yang baru dua hari menyambut Hari Kemerdekaan.
Sebelum ini hampir semua kes melibatkan pemimpin, aktivis dan penyokong Pakatan Harapan ditarikbalik dan dibebaskan daripada pertuduhan. Minggu lalu, pendakwaan terhadap Ketua Menteri Sabah, Shafei Apdal atas kes rasuah berbilion ringgit, turut ditarikbalik.

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, sebegitu banyak pendakwaan dibatalkan.
Itu belum menyentuh pelantikan Peguam Negara, penyingkiran Peguam Negara sebelum ini, Ketua Hakim, pemberhentian dan pertukaran ke atas ramai pemimpin GLC serta penjawat awam yang dilakukan sewenang-wenang dan melanggar amalan demokrasi serta prinsip rule of law.

Apa yang berlaku ini dengan jelas menampakkan kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang haprak dan memalukan imej Malaysia. Ternyata kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa Malaysia berundur ke belakang sebagaimana langkah memansuhkan sistem percukaian terbaik iaitu GST yang diiktiraf dunia dan digantikan SST.

Walaupun Guan Eng boleh bergembira beliau terlepas tetapi sejarah akan menghukumnya. Beliau akan sentiasa dihantui mimpi ngeri dan tetap dilabel pemimpin yang rasuah kerana gagal dibersihkan oleh sistem kehakiman yang sebenar. Guan Eng sepatutnya malu kerana mengheret kerajaan Pakatan Harapan, DAP dan keluarganya Dinasti Lim ke lembah penghinaan.

Seandainya Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas ini, kes beliau dan mereka yang dibebaskan, boleh dibuka semula bagi mencari keadilan dan kebenaran yang sejati buat negara. Peguam Negara, Tommy Thomas juga wajar diheret sementara SPRM mesti turut sama bertanggungjawab dan tidak lagi boleh bersandiwara.

Tapi jangan salahkan Peguam Negara dan SPRM semata-mata, salahkan kepada bos politik iaitu Mahathir dan Guan Eng sendiri yang merupakan pemimpin parti terbesar dalam Pakatan Harapan. Kedua-duanya tidak akan dapat mencucui dosa mereka.

Apa pun, inilah Malaysia baharu yang dijaja oleh Pakatan Harapan. Awal-awal lagi pemerintahannya sudah menyaksikan sebegitu banyak najis dan kejijikan. Inilah padah kerana tersalah pilih kerajaan disebabkan terpedaya gelombang hasutan, penipuan dan campur tangan asing.

Tahniah Malaysia …